Tuesday, May 21, 2013

Bacaan Al-Fatihah Makmum Dalam Solat Berjemaah

Mengikut pendapat jumhur ulamak termasuklah imam Asy-Syafi'i sendiri, membaca Al-Fatihah di dalam solat bagi makmum adalah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Ini bermakna tidak sah solat makmum itu jika ia berkesempatan membaca Al-Fatihah tetapi ditinggalkannya dengan sengaja.

Dalam sebuah hadis yang sahih Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada solat (tidak sah) bagi sesiapa yang tidak membaca Surah Al-Fatihah". Ini berbeza dengan pendapat imam Abu Hanifah yang tidak mewajibkan makmum membaca surah Al-fatihah. jika anda membaca agak lambat dan imam pula agak pantas sehingga anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah. Dalam hal ini sekiranya imam telah rukuk anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum imam sujud, maka hendaklah anda menghabiskanya.

Jika anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam kerana bacaan imam akan dikira sebagai bacaan makmum seperti juga kedudukannya orang yang masbuk. Ini kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan Rasulullah SAW pernah menjelaskan: imam itu dilantik untuk diikuti oleh makmum sekiranya ia rukuk maka hendaklah anda semua rukuk dan sekiranya ia sujud maka hendaklah anda semua sujud. Bagaimanapun bagi sesetengah ulamak Syafi'i seperti imam Nawawi orang terlibat luput rakaat pertama dan ia dikehendaki menambah rakaat yang luput itu diakhir solatnya. 

Friday, May 10, 2013

Kedudukan Imam, Makmum Solat Berjemaah

KEDUDUKAN imam dan makmum dalam solat jemaah seperti yang dipraktikkan dan menurut sunnah Nabi Muhammad ialah imam ke hadapan sementara makmum sama ada lelaki atau perempuan di belakang imam.

Menurut hadis, apabila baginda bangun untuk bersolat, kalangan sahabat bangun di belakangnya. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud).

Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Anas: “Bahawa Nabi s.a.w bersolat di rumah Umm Sulaim lalu aku dan Yatim berdiri di belakangnya sementara Umm Sulaim di belakang kami.” (al-Zuhayli, 1985: II: 245; trj. II: 261-63).

Itulah kedudukan suami sebagai imam dan isteri sebagai makmum dalam solat berjemaah. Kedudukan imam dan makmum juga ditentukan berdasarkan bilangan makmum dan jantinanya.
 Antaranya :

1- Apabila terdapat hanya seorang makmum lelaki, lebih mustahab (sunat) berada di sebelah kanan imam dengan membelakangkan sedikit tumitnya.

2- Jika makmum hanya se­orang lelaki dan perempuan, lelaki hendaklah berdiri di sebelah kanan imam sementara perempuan pula di belakang lelaki itu.

3- Jika terdapat dua makmum lelaki, kedua-dua hendaklah berada di belakang imam.

4- Jika hanya terdapat seorang perempuan atau beberapa orang perempuan, dia atau mereka hendaklah berdiri di belakang imam dengan tidak diselangi antara mereka jarak tiga hasta.

(Sumber Daripada Harian Metro : Fikrah Dr Salam)

Monday, May 6, 2013

Membaca Jahar (Kuat) dan Sir (Perlahan) Dalam Solat

Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)

Kemudian baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda: "Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".

Menurut Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda: "Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)

Mendengar bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya" (Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka". 

(Sila rujuk "Contoh Solat Nabi": Karya Muhammad Nasyiruddin Albani)   

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...