Friday, May 10, 2013

Kedudukan Imam, Makmum Solat Berjemaah

KEDUDUKAN imam dan makmum dalam solat jemaah seperti yang dipraktikkan dan menurut sunnah Nabi Muhammad ialah imam ke hadapan sementara makmum sama ada lelaki atau perempuan di belakang imam.

Menurut hadis, apabila baginda bangun untuk bersolat, kalangan sahabat bangun di belakangnya. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud).

Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Anas: “Bahawa Nabi s.a.w bersolat di rumah Umm Sulaim lalu aku dan Yatim berdiri di belakangnya sementara Umm Sulaim di belakang kami.” (al-Zuhayli, 1985: II: 245; trj. II: 261-63).

Itulah kedudukan suami sebagai imam dan isteri sebagai makmum dalam solat berjemaah. Kedudukan imam dan makmum juga ditentukan berdasarkan bilangan makmum dan jantinanya.
 Antaranya :

1- Apabila terdapat hanya seorang makmum lelaki, lebih mustahab (sunat) berada di sebelah kanan imam dengan membelakangkan sedikit tumitnya.

2- Jika makmum hanya se­orang lelaki dan perempuan, lelaki hendaklah berdiri di sebelah kanan imam sementara perempuan pula di belakang lelaki itu.

3- Jika terdapat dua makmum lelaki, kedua-dua hendaklah berada di belakang imam.

4- Jika hanya terdapat seorang perempuan atau beberapa orang perempuan, dia atau mereka hendaklah berdiri di belakang imam dengan tidak diselangi antara mereka jarak tiga hasta.

(Sumber Daripada Harian Metro : Fikrah Dr Salam)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...