Monday, May 6, 2013

Membaca Jahar (Kuat) dan Sir (Perlahan) Dalam Solat

Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)

Kemudian baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda: "Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".

Menurut Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda: "Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)

Mendengar bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya" (Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka". 

(Sila rujuk "Contoh Solat Nabi": Karya Muhammad Nasyiruddin Albani)   

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...